
PERMAINAN Sudoku membuatkan individu berfikir secara kritis dan kreatif dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
PERMAINAN minda seperti Sudoku memberi manfaat yang baik kepada
fikiran sehingga boleh dijadikan sebagai satu senaman bagi menguatkan
otak pemain.
Ia membantu individu berfikir secara kritis dan kreatif dalam
menyelesaikan sesuatu masalah. Pada masa yang sama, permainan Sudoku
merupakan salah satu cara untuk menggalakkan perkembangan minda
kanak-kanak.
Menurut Pakar Kanak-Kanak dan Remaja, Pusat Psikologi, Universiti
Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Khaidzir Ismail, Sudoku diibaratkan
sebagai makanan minda kepada kanak-kanak kerana pada tahap ini, otak
mereka sedang berkembang 80 peratus untuk menjadi matang.
“Justeru, pada tahap ini, otak mereka perlu dilatih bagi menguatkan pemikiran.
“Namun, usah hanya tertumpu pada permainan Sudoku. Sewajarnya ibu
bapa perlu membuka minda anak-anak dengan aktiviti sosial yang lain
seperti perbualan dan pengalaman daripada persekitaran. Ini termasuklah
memberi keseimbangan kecerdasan intelektual (IQ) dan kecerdasan emosi
(EQ) untuk proses tumbesaran diri kanak-kanak,” ujarnya ketika dihubungi
Kosmo!.
Sementara itu, Pakar Psikologi, Fakulti Pendidikan, Universiti
Teknologi Malaysia, Prof. Dr. Syed Mohamed Shafeq Syed Mansor berkata,
permainan berkaitan logik seperti Sudoku menggunakan otak kiri. Dari
segi psikologi, ia dapat membantu menguatkan pemikiran seseorang.
“Namun begitu, ia tidak boleh dilakukan secara berterusan atau
terlalu lama. Cukup sekadar mengisi masa lapang antara 30 minit hingga
satu jam sahaja,” kata Dr. Syed Mohamed Shafeq.
Permainan minda Sudoku dicipta oleh ahli matematik, Leonhard Euler
pada tahun 1783. Namun, sejak tahun 1984, Presiden Nikoli Co. Ltd., Maki
Kaji telah memainkan peranan penting dalam mempromosikan pembangunan
dan pemasaran Sudoku melalui syarikat pengeluar teka-teki itu.
Sudoku kini dimainkan di lebih 100 buah negara seluruh dunia.
Popularitinya dapat dilihat melalui penganjuran pertandingan Sudoku
untuk pelbagai peringkat umur di dalam dan luar negara.
Tahun ini, Peraduan Sudoku Kosmo! Midea akan dianjurkan bermula 16
hingga 21 September 2013. Ia mendapat kerjasama pengedar rangkaian
produk elektronik dan perkakasan rumah, Midea Scott & English
Electronics Sdn. Bhd. (Midea), yang merupakan penaja utama peraduan
tersebut.
the good one!
ReplyDeleteBelajar sampai terror....
ReplyDelete